Monday, March 16, 2009

Perspective atau worldview; apa yang boleh mempengeruhinya ?

1. Perspective atau worldview yang mengambarkan realiti sebenar diri kita sendiri berdasarkan daripada perspective atau worldview dari "hasil penelitian diri sendiri" adalah realiti sebenar diri kita sendiri. Realiti diri kita sebenar mungkin hanya kita yang mengetahunya ?

2. Perspective atau worldview yang menggambarkan worldview orang lain kepada diri kita sendiri adalah bukan realiti sebenar diri kita sendiri kerana tahap kesahihan worldview orang lain terhadap kita dipengeruhi oleh banyak faktor ia itu antaranya seperti tingkat keupayaan diri kita sendiri untuk membuat "adjustment" penampilan kepada orang lain atau masyarakat melalui bagaimana diri kita sendiri berupaya menzahirkan "corak atau warna" yang kita putuskan untuk "dinampakkan" kepada orang lain. Jadi, perspective atau worldview orang lain kepada diri kita sendiri adalah bukan menggambarkan realiti sebenar diri kita sendiri. Ertinya worldview orang lain kepada diri kita sendiri boleh jadi hanyalah persepsi orang tersebut kepada kita. Kalau kita mempunyai ilmu dan skil untuk melakarkan skript sebagai asas permainan wayang kepada orang lain atau masyarakat, kita "pandai berlakun" atau hipokrit; then, persepsi orang lain kepada kita akan boleh kita tentukan. Contohnya: kalau kita memakai jubah, kopiah dan berjanggut panjang berwarna keputihan dan disertakan dengan penampilan kata-kata yang dihiasi dari sumber ilmu agama; boleh jadi persepsi orang atau masyakat akan beranggapan bahwa kita adalah "ulama" atau paling rendahpun diklasifikasikan sebagai orang "alim"; walaupun pada realitinya sebelumn kita mengubah penampilan diri sendiri, kita telah melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan norma-norma kehidupan sosial masyarakat "dibelakang tabir".

3. Perspective atau worldview yang mengambarkan realiti sebenar diri kita sendiri berdasarkan daripada perspective atau worldview "TUHAN" atau "Allah SWT" bagi orang beragama Islam contohnya adalah merupakan perspective atau worldview realiti sebenarnya siapa diri kita.

4. Perspective atau worldview realiti kita sebenarnya akan berada di garisan "equilibrium" apabila ketiga-tiga perspective atau worldview seperti di atas berada dalam kedudukan yang seimbang dan ini hanya akan boleh terjadi atau berlaku kepada seseorang jika modal insan itu berjaya dibangunkan atau berjaya membangunkan diri sendiri mengikut sylibus pembangunan modal insan yang sistematik, holistik dan berdasarkan ilmu Allah SWT. Perspective atau worldview yang keemapat (4) ini ada hubugan langsung dengan "konsep tauhid" dan ilmu, amal dan iman kalau ditinjau dari perspective pemikiran islam dan ini adalah merupakan paksi kepada tahap qualiti modal insan.

Saturday, March 7, 2009

MEMPERKASAKAN KONTRAK SOSIAL : ANTARA CABARAN DAN HARAPAN

Oleh: Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim

Negara kita merupakan negara yang terdapat pelbagai kaum atau etnik yang hidup harmoni. Ia adalah unik kerana walaupun penduduknya terdiri daripada berbilang etnik namun konflik antara kaum jarang berlaku. Jika berlaku tidaklah sehingga menghancurkan negara.

Di antara masalah utama ke arah kemerdekaan ialah masalah perpaduan. Ia berkait rapat dengan kepelbagaian keturunan, budaya, bahasa dan agama. Setiap kaum mahukan bahasa ibundanya dijadikan bahasa kebangsaan. Di samping itu, kaum-kaum lain berasa bimbang apabila orang Melayu mahukan agama Islam dijadikan agama rasmi. Sementara itu orang bukan Melayu menuntut supaya mereka diberikan kerakyatan.

Sebaliknya orang Melayu mempersoalkannya. Masalah ini bukan disebabkan oleh sikap kaum-kaum yang ada di tanah Melayu tetap hasil daripada dasar pecah dan perintah Inggeris yang mengasingkan mereka dari segi tempat tinggal dan bidang ekonomi. Ini menyebabkan mereka kurang berinteraksi, akhirnya mewujudkan jurang perbezaan dan menjejaskan perpaduan. [Nazaruddin Mohd Jalil, 2001]

Kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.

Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di negara ini. [Mohamed Jauhar Hassan, 1996]

Elemen-Elemen Kontrak Sosial Menurut Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. [Ahmad Mohd Ibrahim, 1995]

Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para penggubal mengangap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum [Mohamed Suffian Hashim, 1984]. Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957.

Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.

Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan [Abdul Aziz Bari, 1996]. Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:

1. KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Apabila akhirnya kemerdekaan diberikan kepeda Semenanjung Tanah Melayu, institusi beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan [Salleh Abbas, 1997]. Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan [Abdul Aziz Bari, 1999]

2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU

Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.

3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di Malaysia. Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:
“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan” [Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan]

4. BAHASA MELAYU

Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya. Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan.

Kontrak Sosial Sebagai Pemangkin Perpaduan Masyarakat

Ternyata selepas hampir 50 tahun kemerdekaan Malaysia, formula kontrak sosial yang telah dipakai telah berjaya menyatupadukan semua kaum di Malaysia tanpa berlaku sebarang konflik perkauman. Kontrak sosial ternyata berjaya membawa semua kaum di Malaysia supaya menghormati setiap hak yang telah ditetapkan oleh perlembagaan.

Sesungguhnya elemen-elemen kontrak sosial yang terdapat dalam perlembagaan persekutuan tanpa syak lagi adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran negara dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan mana-mana daripada elemen-elemen ini yang berkemungkinan akan mencetuskan perpecahan dalam keharmonian kaum.

Meskipun kaum bumiputera telah diberi keistimewaan dan hak-hak tertentu berbanding kaum lain, namun kaum lain turut sama dapat hidup dengan aman damai di Malaysia tanpa berasa tertindas. Ini berlainan dengan masyarakat di negara lain yang mempunyai konflik antara kaum disebabkan kegagalan masyarakat untuk menghormati dan patuh pada kontrak sosial yang telah ditetapkan.

Sebahagian masyarakat bukan Melayu ketika itu mungkin menganggap kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu terdiri daripada imigran atau keturunan imigran.Generasi bukan Melayu sekarang pula menganggap kontrak sosial ini sebagai sesuatu yang sudah berlalu.

Mereka tidak nampak kenapa ia masih dibangkitkan kerana bagi mereka ia adalah sesuatu yang automatik. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera merupakan sebahagian daripada kontrak sosial. Jika golongan bukan Melayu diberi kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberi perlindungan melalui fasal-fasal dalam
Perlembagaan tentang hak istimewa orang Melayu.

Masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan politik Melayu atau sistem kenegaraan Melayu dan pengaruhnya kepada negara manakala kaum bumiputera pula harus memahami hakikat masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini. Hak orang bukan Melayu tidak boleh disangkal kerana mereka telah lama bermastautin, lahir dan membesar di Malaysia. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak harus saling memahami.

Oleh yang demikian seharusnya polemik berkaitan hak-hak kaum lain tidak dipertikaikan. Ini kerana ia telah pun termaktub di dalam perlembagaan. Penulis teringat polemik berkaitan isu kontrak sosial ini yang pernah ditimbulkan oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) satu ketika dahulu iaitu tentang 83 tuntutan yang antaranya menuntut agar semua orang Cina mendapat semua perkara yang dianggap sebagai hak mereka dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu.[Utusan Malaysia, "Suqiu keterlaluan - PM -Kerajaan menolak sama sekali tuntutan hapuskan hak istimewa orang Melayu", 24 Disember 1998].

Begitu juga kenyataan yang dibuat oleh Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan.[Utusan Malaysia, "Lupakan formula kontrak sosial antara kaum - Keng Yaik", 14 Ogos 2005]. Menurut beliau, formula kontrak sosial itu membuatkan masyarakat Cina dan India merasa kecil hati.

Malah negara kita juga pernah gempar dengan kontroversi berkaitan isu agama iaitu tentang cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan usaha Kumpulan Artikel 11 yang giat berkempen ke seluruh negara atas nama kebebasan individu untuk bebas beragama sehingga menimbulkan suasana tegang dan kemarahan umat Islam setiap kali mengadakan kempen-kempen penerangan mereka.[Utusan Malaysia, "Agama: Amaran Pemuda UMNO bangkit kesedaran", 16 November 2006]. Ini adalah rentetan daripada polemik kes Lina Joy dan juga kes perebutan mayat Moorthy, Nyonya Tahir dan juga terbaru Rayappan antara keluarga si mati dan juga Jabatan Agama Islam.

Contoh-contoh polemik di atas seharusnya perlu dielakkan bagi menjamin keharmonian kaum di Malaysia. Ini kerana mengapa perlu kontrak sosial dirombak sedangkan formula tersebut ternyata berkesan hingga kini dalam memelihara perpaduan antara kaum. Mungkin jika kontrak sosial ini dibincangkan secara terbuka akan memberi lebih banyak kesan kepada setiap kaum di Malaysia.
Ini kerana jika ini berlaku sudah tentu orang Melayu akan memprotes dan ini sekaligus boleh menimbulkan ketidaksefahaman dan sangsi dengan kaum lain. Oleh itu bagi mengelakkan rasa prejudus ini dan mengelak perkara yang tidak dijangka adalah lebih wajar jika kita mengambil jalan mudah dengan tidak membicarakan tentang kontrak sosial secara terbuka.

Kontrak Sosial Menurut Sejarah Islam

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, Islamlah agama terawal yang merumuskan satu formula berkaitan kontrak sosial sebagaimana terangkum dalam Piagam Madinah. Bahkan kontrak sosial yang terbentuk melalui piagam Madinah pada tahun 622 Masihi itu merupakan dokumen perlembagaan terawal yangmenggariskan prinsip kebebasan dan jaminan hak yang sama rata di kalangan pelbagai kaum.

Kontrak sosial tersebut jelas memperincikan dan mempertahankan hak, keistimewaan, kebebasan dan keadilan setiap kaum di Madinah termasuklah kaum minoriti Yahudi dan bangsa Arab lain yang bukan beragama Islam.Malah jika diperhatikan, daripada 47 fasal yang terkandung dalam Piagam tersebut, 24 daripadanya adalah peruntukan hak dan kewajipan masyarakat minoriti Yahudi.

Prinsip kebebasan agama amat dititikberatkan Rasullulah S.A.W hingga baginda secara jelas menegah sebarang usaha merobohkan gereja dan tempat peribadatan agama lain bagi digantikan dengan pembinaan masjid. Paderi-pader dan ketua-ketua agama lain yang tinggal di Bukit Sinai umpamanya turut diberikan perlindungan khusus oleh Rasullulah daripada sebarang ancaman musuh.

Dr Yusuf Qardawi dalam bukunya Ghayr al-Muslimeen fil Mujtama’ al-Islami turut membahaskan hak-hak golongan minoriti bukan Islam yan wajib dipertahankan oleh kerajaan Islam. Dalam bukunya, beliau menukilkan bagaimana di zaman Khalifah Umar al-Khatab, rakyat di Ilya (Juruselem) yang terdiri daripada pelbagai agama termasuklah Islamm Kristian dan Yahudi dikehendaki memeterai kontrak sosial yang menjamin kebebasan dan hak mereka sebagai warganegara.

Ini termasuklah hak untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa penindasan dan penganiyaan. Malah penegasan turut dibuat bagi menghalang sebarang unsur-unsur paksaan terhadap penganut agama lain termasuklah yang bersangkutan dengan harta mahupun agama.

Khalid al-Walid pula dalam memeterai kontrak sosial bersama masyarakat ‘Anat yang terdiri daripada penganut agama Kristian jelas menyebut: ” Penganut Kristian mesti dibenarkan membunyikan loceng pada bila-bila masa sama ada siang mahupun malam kecuali ketika waktu umat Islam menunaikan solat. Mereka juga mesti dibenarkan mempamerkan salib pada hari-hari perayaan.“

Begitulah betapa hebatnya prinsip keadilan dan kebebasan yang menjadi bukti perakuan Islam terhadap pembentukan kontrak sosial di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Semuanya bagi menjamin keharmonian dan kestabilan yang berkekalan khususnya dalam realiti masyarakat plural dalam sesebuah negara.

Oleh itu, dalam mencari formula terbaik untuk merangka pelan tindak memperkasakan persefahaman dan perpaduan kaum di Malaysia kini, semua pihak khususnya generasi muda negara ini harus kembali menelusuri sejarah serta menjunjung prinsip dan nilai luhur yang terkandung di dalam ajaran Islam. [Asyraf Wajdi Dusuki, 2006]

Hanya dengan memahami sejarah dan menjiwai prinsip Islam sejati generasi muda akan lebih menghargai kontrak sosial dan sensiviti kaum yang menjadi teras pembentukan masyarakat Malaysia yang aman, makmur dan bahagia.