Saturday, July 25, 2009

NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU



Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.


Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.


Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.


Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.


Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.


Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.


Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.


Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.


Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.


Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?


Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.


Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.


Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?


Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.


Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.


Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?


Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.


Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.


Logik
Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.


Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.


Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?


Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.


Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.


Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.


Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.


Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.


Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.


Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.


Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.


Dr. Mohd Ridhuan Tee
Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Friday, July 10, 2009

MELAYU GLOKAL


"Konsep, gagasan, hasrat, citra dan wawasan Melayu Glokal adalah untuk mengubah minda, sikap, paradigma dan pandangan hidup bangsa Melayu kepada yang lebih hebat, unggul dan mulia. Oleh itu, marilah kita dengan penuh azam dan iltizam, berdoa dan berusaha agar Melayu Glokal dapat dibina sebagai suatu janakuasa baru yang hebat dan bertenaga demi manfaat agama, bangsa dan negara."


Sumber : Teks ucapan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam Majlis Konvensyen Melayu Glokal anjuran Institut Pembangunan Tereangganu dan Kerajaan Negeri Terangganu

1. Terlebih dahulu marilah kita merafakkan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat bersama-sama dalam majlis Konvensyen Melayu Glokal anjuran Institut Pembangunan Terengganu dan kerajaan negeri pada hari ini. Setinggi-tinggi tahniah dirakamkan kerana kejayaan menganjurkannya dan terima kasih setulusnya kerana menyambut konsep Melayu Glokal yang telah saya utarakan.

2. Pada tahun 1992 dan 1993 ketika saya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, telah dianjurkan siri latihan yang bertemakan Akar Teguh Akal Canggih (ATAC) kepada pemimpin-pemimpin pemuda seluruh negara. Istilah glokal belum kedengaran lagi pada masa itu. Namun pada hakikatnya harapan untuk menjadikan Akar Teguh Akal Canggih di kalangan pemuda pada ketika itu adalah membawa maksud yang sama iaitu persiapan kekuatan dalaman dan luaran untuk berjaya di negara dan antarabangsa. Pada 19 Julai 2005, dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, istilah Melayu Glokal adalah kali pertama disuarakan.

3. Saya telah menyebut bahawa maksud glokal adalah gabungan antara dua perkataan iaitu global dan lokal. Global melibatkan antarabangsa, internasional dan seluruh dunia sementara lokal bermaksud tempatan, nasional dan dalam negara kita ini. Melayu Glokal yang dihasratkan ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional. Akar kita berpaksi di dalam negara namun akal kita menerjah di arena antarabangsa. Kita perlu hebat di kota dan desa dan kita juga perlu berperanan di serata dunia. Kita mahukan Melayu Glokal berpaksikan kepada budaya Melayu yang murni dan bertunjangkan dengan ajaran agama Islam yang suci.

4. Dalam ucapan berkenaan saya juga telah menggariskan bahawa untuk menjana Melayu Glokal, kita perlu mengambil lima tindakan: Pertama, melalui ilmu dan pendidikan, kedua, melalui pembangunan ekonomi, ketiga berpaksikan penghayatan agama, keempat kekuatan jati diri melalui transformasi budaya dan yang kelima memperkasakan politik berteraskan idealisme perjuangan. Aspirasi glokal juga wajar bermula daripada kepimpinan pelbagai peringkat agar menjadi sebahagian daripada aspirasi masyarakat.

5. Setelah ucapan berkenaan saya lontarkan, terdapat pelbagai sambutan daripada pelbagai pihak. Saya tidak menafikan bahawa perkataan glokal atau ‘glocalization’ adalah daripada bahasa Inggeris yang telah wujud sebelum ucapan saya lagi. Dalam buku berjudul “The World Is Flat” karangan Thomas L. Friedman terbitan tahun 2005 misalnya, istilah ‘glocalization’ ada disebut. Istilah glokalisasi juga dikupas dalam buku “Dinamika Bangsa Melayu” terbitan UKM tahun 2004.

6. Namun frasa Melayu Glokal belum pernah diutarakan sebelum ucapan saya. Ingin juga dijelaskan bahawa Melayu Glokal adalah pelengkap kepada gagasan Personaliti Unggul yang disebut oleh YAB Perdana Menteri. Ianya wajar dilihat sebagai bersesuaian dengan konsep Islam Hadhari, yang juga melibatkan usaha untuk pembangunan bangsa yang maju.

7. Terdapat sebuah buku baru cetakan tahun 2006 ini yang berjudul “Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal” tulisan Dato’ Dr. Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku tersebut menghimpunkan tulisan 40 artikel Dato’ Dr. Hassan pada tahun 2003 dan 2004 berhubung soal memperkasakan bangsa melalui pelbagai kekuatan. Gagasan Melayu Glokal pula saya utarakan pada tahun 2005. Buku ini adalah contoh sambutan cendiakawan tentang konsep Melayu Glokal. Oleh itu, konvensyen seumpama ini adalah menepati objektif agar konsep Melayu Glokal dapat lebih difahami dan dikembangkan.

8. Ayuh kita melihat sedikit kajian mengenai sejarah orang Melayu. Jika kita merujuk kepada buku Prof. Syed Hussien Al Atas yang bertajuk “Mitos Pribumi Malas”, beliau telah menganalisis asal usul, punca dan akibat pribumi yang malas iaitu orang Melayu daripada abad ke 16 hingga ke 20 di rantau ini. Beliau merumuskan bahawa orang Melayu dianggap pemalas oleh kolonial Barat kerana orang Melayu tidak mahu bekerja dengan penjajah yang menjatuhkan maruah mereka. Sarjana barat disebut pada ketika itu cenderung untuk menjatuhkan maruah pribumi Melayu. Namun, tuduhan kemalasan Melayu bukan disebabkan oleh malas yang sebenar. Sebaliknya adalah disebabkan oleh penolakan mereka untuk bekerja sebagai buruh ladang dan ketidakadilan yang diterima oleh mereka dalam kegiatan ekonomi kapitalis yang dikuasai oleh penjajah. Dibuktikan juga bahawa masyarakat Melayu akan rajin apabila minatnya timbul. Oleh itu, generalisasi masyarakat Melayu malas adalah tidak tepat dan suatu mitos.

9. Sekarang ini bangsa Melayu masih ketinggalan. Oleh itu adakah pribumi malas masih lagi mitos atau kebenaran? Banyak analisa telah dibuat tentang punca ketinggalan bangsa Melayu dalam pelbagai bidang. Ada yang menyatakan ianya disebab oleh dasar pecah dan perintah penjajah yang meletakkan orang Melayu di kampung, orang Cina di bandar dan orang India di ladang atau estet. Ada pula yang menyebut disebabkan faktor genetik, turun temurun, sememangnya Melayu memang begitu, lantas mencadangkan perkahwinan campur sebagai satu kaedah untuk mengatasinya. Ada yang menyatakan pemimpin dan kerajaan perlu berbuat sesuatu yang drastik bagi membina Agenda Melayu kerana dianggap masih tidak cukup usaha ke arah itu.

10. Apakah hubung kait tentang tuduhan Melayu malas dan Melayu mundur dengan Melayu Glokal? Kita perlu pastikan bahawa Melayu yang ingin menerjah ke peringkat global adalah Melayu yang tidak malas dan tidak mundur. Jika Melayu masih tidak bersedia untuk menerjah ke arena antarabangsa dan pada masa yang sama kurang berjaya dalam negara; maka Melayu akan terus layu dan tidak bermaya untuk menghadapi arus tsunami ledakan perubahan yang sedang berlaku.

11. Tanpa menafikan tentang pentingnya mencari punca bangsa kita mengapa masih di tahap begini, kurang di sana sini – adalah lebih produktif jika kita menghayun seribu langkah, berani mulai sekarang ini untuk memahat sejarah dan mencipta tamadun. Kita sebenarnya sudah kesuntukan masa. Wawasan 2020 tinggal 15 tahun saja lagi. Apabila fajar menyingsing pada 1 Januari 2020 nanti, jangan dikesali, jangan ditangisi jika pada saat itu orang lain telah maju tapi kita masih terkebelakang. Sebelum air mata darah menitis penuh kekesalan, marilah kita bertindak sekarang.

12. Kerajaan pula dalam Rancangan Malaysia ke 9 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Mac 2006 ini sedang menyediakan pelbagai strategi untuk memacu binaupaya bangsa dan negara agar lebih hebat dan berjaya. Pada ketika yang sama, bangsa Melayu juga wajar berdikari dan wujud penambahbaikan bagi menghadapi gelombang ekonomi baru yang semakin mencabar. Ekonomi baru memerlukan penyediaan minda baru dan konsep Melayu Glokal adalah salah satu ikhtiar penting bagi menghadapi cabaran ini.

13. Saya mencadangkan agar semua pihak secara terbuka dan kritis cuba memahami gagasan dan seterusnya menghayati semangat Melayu Glokal. Bagi membantu menjayakannya saya ingin menggariskan lima strategi berikut bagi menjana Melayu Glokal:

13.1 Strategi pertama ialah membentuk peribadi Melayu Glokal yang berjaya: Banyak formula kejayaan peribadi dikemukakan oleh golongan sarjana, ulama’ dan perunding motivasi. Hari ini saya ingin mengemukakan satu formula kejayaan untuk dihayati bersama iaitu:

Kejayaan = Wawasan X Usaha X Keupayaan X Sikap
(Kejayaan adalah bersamaan faktor Wawasan darab Usaha darab Keupayaan dan darab Sikap)

Wawasan (vision) melibatkan pandangan jauh, visi, objektif, matlamat, halatuju yang jelas, praktikal dan boleh dicapai. Ianya wajar diiringi dengan doa kepada Allah. Anggap markah wawasan dari 0 hingga 100.

Usaha (effort) melibatkan ikhtiar untuk bertindak dan jumlah masa, tenaga dan wang ringgit yang diperuntukan untuk mencapai sesuatu bentuk kejayaan. Markah usaha dari 0 hingga 100.

Keupayaan (ability) melibatkan kebolehan dan peluang untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan menerusi pembelajaran, kemahiran, bakat, suasana sekitar dan pengalaman. Markah juga dari 0 hingga 100.

Sikap (attitude) melibatkan tabiat, tingkah laku, perangai dalam kehidupan, kerjaya, diri dan keluarga seperti mengamalkan nilai-nilai murni atau sebaliknya. Markah dari (negatif) -100 hingga 100. Ini disebabkan sikap adalah komponen terpenting formula ini.

Jika kita sebagai Melayu Glokal ingin berjaya maka kita memerlukan keempat-empat faktor (wawasan, usaha, keupayaan dan sikap) tersebut mempunyai nilai positif. Maknanya jangan ada yang negatif atau 0. Ini penting kerana formula tersebut mempunyai fungsi darab yang jika dihitung akan menjadi 0 jika ada faktor yang bernilai sifar. Begitu juga jika ada faktor yang negatif maka keseluruhan kejayaan tersebut akan menjadi negatif juga contohnya jika sikap dan nilai-nilai murni tidak diamalkan.

13.2 Strategi kedua ialah meramaikan kepakaran bersifat glokal. Dalam banyak bidang, kepakaran merupakan tiket paling berharga untuk melayakkan seseorang terlibat secara aktif di semua peringkat. Modal insan yang berupa kepakaran dan mempunyai nilai tambah adalah lebih penting daripada modal-modal yang lain. Oleh yang demikian, Melayu Glokal khususnya di firma swasta multinasional dan pusat pengajian tinggi perlu menempatkan diri dalam kelompok elit di kalangan komuniti saintifik dan profesional masing-masing. Sebagai contoh, kita perlu bukan sahaja kepakaran dalam bidang ICT dan bio-teknologi dalam negara, tetapi juga menjadi tokoh profesional atau profesor dengan menganggotai jawatankuasa tertentu serantau ataupun tokoh korporat di peringkat antarabangsa.

13.3 Strategi ketiga ialah menguasai ilmu dan maklumat glokal. Ilmu tentang glokal wajarlah sentiasa disebarluaskan. Media massa perlu berperanan untuk menyalurkan maklumat yang tepat tentang peristiwa yang berlaku di peringkat lokal dan antarabangsa dari perspektif yang bersesuaian. Menerusi maklumat tersebut, maka masyarakat umum akan lebih peka dengan persekitaran global sekaligus bertindak selari dengan perkembangan semasa. “Information is power”. Dalam era teknologi maklumat, segala kecanggihan jaringan cyber wajar dimanfaatkan ke arah yang positif. Setiap keluarga Melayu wajar mempunyai sebuah komputer dalam setiap rumah misalnya. Barulah kehebatan ilmu dan maklumat dapat dirasai ledakkannya.

13.4 Strategi keempat ialah membina jaringan perniagaan glokal. Dengan adanya kefahaman yang merentasi isu-isu tempatan dan rantauan, maka lebih banyak peluang perniagaan akan diperolehi. Dengan kata lain, citra glokal membolehkan golongan usahawan dan syarikat besar mengembangkan sayap perniagaan ke negara-negara yang selama ini tidak terjangkau disebabkan oleh faktor-faktor geografi dan politik. Jika dahulu persaingan kita ialah antara etnik, persaingan baru kini adalah antara negara. Sebagai contoh ialah Felda yang merupakan pemilik ladang sawit dan getah seluas 2 juta ekar adalah juga tuan punya estet terbesar di dunia. Saya telah mengarahkan Felda yang mempunyai 49 anak syarikat untuk menjadi pelaku global yang aktif. Satu ketika nanti Felda akan menjadi multinasional yang glokal sifatnya dan diterajui oleh pengurusan Melayu yang juga glokal kehebatannya. Petronas sudah menjadi glokal lebih awal lagi apabila saban tahun menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam senarai Fortune 500 dunia.

13.5 Strategi kelima ialah memantapkan gerakan pasukan glokal. Kita menjadi kuat apabila bersatu dan saling membantu sesama bangsa. Ada tiga konsep penting perlu dihayati iaitu konsep “win-win” atau menang-menang, konsep “synergy” dan konsep jemaah. Apabila kita melaksanakan sesuatu jangan fikir kita menang dan orang lain kalah atau kita kalah mereka menang. Kedua-dua pihak perlu menang, barulah sesuatu usahasama dan perhubungan boleh berkembang. Seorang individu digabung dengan kehebatan seorang lagi individu akan mewujudkan “synergy” yang hebat. Sebenarnya 1+1 tidak semestinya berjumlah 2 dari konsep falsafah. Suami campur isteri akan melahirkan keluarga dengan tiga orang atau lebih jumlahnya. Oleh itu ianya membawa kepada konsep jemaah atau pasukan. Dalam Islam jika ada seorang imam dan seorang makmum dalam sembahyang berjemaah, pahalanya adalah 27 kali ganda. Oleh itu, falsafah 1+1 adalah berjumlah 3 atau lebih. Rumusannya ialah Melayu Glokal perlu berfikir dan bertindak secara berpasukan untuk mendapatkan kelebihan segera dalam pelbagai bidang.

14. Konsep, gagasan, hasrat, citra dan wawasan Melayu Glokal adalah untuk mengubah minda, sikap, paradigma dan pandangan hidup bangsa Melayu kepada yang lebih hebat, unggul dan mulia. Oleh itu, marilah kita dengan penuh azam dan iltizam, berdoa dan berusaha agar Melayu Glokal dapat dibina sebagai suatu janakuasa baru yang hebat dan bertenaga demi manfaat agama, bangsa dan negara.